Pencapaian
August 10, 2023Zaidy Abdul Talib ialah seorang ahli politik Malaysia berbangsa Melayu dari Parti Islam Se-Malaysia. Beliau pernah menjadi Ahli Dewan Negeri Selangor bagi DUN Taman Templer bertanding di atas tiket PAS.
Di peringkat parti, beliau merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Selayang. Di peringkat kerajaan negeri, beliau pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor memegang portfolio Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Selangor
Zaidy dilahirkan pada 27 Februari 1972 di Kampung Pondok Lati, Pasir Mas, Kelantan. Keluarganya yang pernah berpindah ke beberapa Estet di Negeri Sembilan dan juga Pahang sebelum menetap di Felda Kumai, Bera. Beliau anak sulung daripada tujuh anak pasangan Haji Abdul Talib Che Harun dan Hajah Shakiriah Yaacob. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Hajah Kasmawati Haron dan dikurniakan 6 orang anak, 3 lelaki dan 3 perempuan.
Zaidy bersekolah peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bera. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di tingkatan 6 aliran sains di Sekolah Menengah Kebangsaan Temerloh yang ketika itu hanya beberapa orang pelajar Melayu sahaja. Beliau melanjutkan pengajian peringkat sarjana muda sains (fizik) di Universiti Malaya. Beliau telah menamatkan pengajian Diploma Tasawur Islam di Institut Latihan Kepimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiyah (ILHAM) dan pengajian sarjana hukum Islam dari Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim, Riau, Indonesia.
Beliau pernah menjadi pensyarah kejuruteraan di sebuah kolej swasta. Kemudiannya menjadi jurutera di sebuah syarikat kejuruteraan Avionic, sebelum menyertai syarikat pemasaran dalam pembangunan perisian sebagai pengurus projek. Pada tahun 2002, beliau telah membuka syarikat sendiri yang memfokuskan pembangunan perisian sistem maklumat. Pada tahun 2008, beliau telah mendapat Certified NLP (Neuro-Linguistic Programming) Practitioner, NFLP Amerika Syarikat, bersama beberapa rakan untuk membuka syarikat di dalam bidang pembangunan Modal Insan. Beliau juga memperolehi Sijil tauliah sebagai jurulatih dari Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) dan juga sebagai Profesional Learning Facilitator (PLF).
Selain itu, beliau juga pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS). Namun pada tahun 2013, beliau terpaksa meletakkan jawatan sebagai ahli majlis dan menarik diri daripada syarikat bagi memfokuskan diri didalam bidang Politik serta menumpukan bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-13.
Selepas tamat pengajian, beliau mendaftarkan diri sebagai ahli Parti Islam Se-Malaysia Cawangan Petaling Jaya Utara, Kelana Jaya. Perjalanan politik beliau bermula dari bawah iaitu sebagai ahli Unit Amal dan Petugas IT. Seterusnya menjadi Penolong Setiausaha PAS Cawangan Subang, kemudiannya Ketua Penerangan Pemuda PAS Subang. Seterusnya dilantik sebagai Exco Dewan Pemuda PAS Selangor ; Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor ; Ketua Dewan Pemuda PAS Selayang ; Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia ; Ketua Penerangan PAS Selangor. Kini, beliau sedang menjawat Yang Di-Pertua (YDP) PAS kawasan Selayang dan juga Bendahari Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor.
Piliharaya Umum ke 13 yang lepas, beliau telah mengalahkan Datuk Subahan Kamal dengan majoriti 7,467 daripada undi yang diterima 24,667 seterusnya dinobatkan sebagai ADUN N15 Taman Templer pada tahun 2013. Pada tahun 2014, berlaku krisis Menteri Besar yang melibatkan “Langkah Kajang” telah menyaksikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah digantikan dengan Mohamed Azmin Ali. Setelah itu, barisan Exco baru telah dipilih dan kemudiannya beliau telah dilantik Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dengan memegang portfolio sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Selangor.